Zety Roses

Keindahan kuntuman ros

KAWASAN rumah Sharifah Marzety diserikan dengan bunga ros.

 

KAWASAN rumah Sharifah Marzety diserikan dengan bunga ros.

 

BAGAIKAN berada di negara Eropah. Keindahan Taman Zety Roses di Kampung Tanjung Aur, Hulu Terengganu sememangnya menjadi sebutan ramai.

Taman itu menempatkan lebih 700 jenis bunga ros pelbagai warna dan corak dari seluruh dunia.

Sebahagian daripada jenis bunga ros yang ditanam di taman itu ialah Catalina, Pope John Paul, Claude Brasseur, Plume, Ruby ruby, Ballerina Orange, Alleluia Lydia, Little Pink Hedge, Juicy Terazza, Paris, Pink Sweet, Safi, R Roxburghii Plena, Our Lady of Guadalupe, Pluto King, Moody Blue, Chulalongkorn, Hohoemi Pink, Charles De Nervaux, Rugosa dan Hyde Hall.

Tidak hairan jika taman itu juga diiktiraf satu-satunya taman ros terbesar di kawasan tanah rendah di negara ini.

Bermula sekadar hobi kira-kira 10 tahun lalu, Sharifah Marzety kini memiliki taman ros seluas 1.619 hektar.

Kata Sharifah Marzety, dia mendalami ilmu penjagaan dan penanaman ros melalui pembacaan selain melakukan penyelidikan dan pembangunan sendiri di taman berkenaan.

Katanya, bunga ros umpama terapi untuk dia sekeluarga.

 

SHARIFAH Marzety peminat ros tegar.

 

SHARIFAH Marzety peminat ros tegar.

 

“Setiap hari, saya mesti membelek-belek bunga ros dan berasa tidak lengkap jika tidak dapat berada di taman.

“Alhamdulillah, bermula sekadar hobi, kini taman ini turut menjadi sebuah pusat jualan ros secara komersial dan berskala besar yang mempunyai pasaran di seluruh negara,” katanya.

Menurut Sharifah Marzety lagi, dia bertuah kerana suami, Engku Hassan Engku Wok Zin serta lima anak mereka turut meminati aktiviti menanam bunga terutama bunga ros.

Katanya, mereka ringan tulang dan sentiasa membantunya apabila memerlukan.

 

KAWASAN tangga rumah juga diserikan dengan tanaman pokok keladi.

 

KAWASAN tangga rumah juga diserikan dengan tanaman pokok keladi.

 

“Taman ini luas dan saya mengupah 28 pekerja untuk membantu menguruskan tanaman bunga yang ada.

“Selain ros, taman ini juga menempatkan pelbagai jenis pokok keladi,” katanya yang turut menghiasi laman rumahnya dengan dereten pokok bunga ros.

Bekas pensyarah di Jabatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaysia Terengganu itu sudah pun menamatkan kerjayanya dan kini menumpu sepenuh masa terhadap pengurusan taman berkenaan.

Sharifah Marzety berkata, pokok bunga ros memerlukan penjagaan teliti dan tidak boleh dijaga dengan ala kadar.

 

RUMAH putih yang dikelilingi bunga ros idaman Sharifah Marzety sejak kecil.

 

RUMAH putih yang dikelilingi bunga ros idaman Sharifah Marzety sejak kecil.

 

“Pokok bunga ros mempunyai jadual penjagaan tersendiri iaitu perlu disiram dua kali sehari.

“Ia juga perlu dibaja dan disembur racun serangga seminggu sekali.

“Lebih penting, pokok bunga ros tidak boleh terkena asap rokok kerana ia boleh menyebabkan kuntuman bunganya rosak dan layu,” katanya.

Sementara itu, taman berkenaan juga menerima kunjungan dari dalam dan luar negeri.

 

ANTARA jenis bunga ros yang ditanam.

 

ANTARA jenis bunga ros yang ditanam.

 

Kebanyakannya adalah peminat bunga berkenaan yang mahu melihat sendiri keunikan pelbagai jenis spesies yang ada.

Antara yang mencuri tumpuan adalah ros berwarna hijau dan hitam kemerahan.

Katanya, jika terkena hujan, kelopak bunga ros mudah gugur dan susah untuk kembang sepenuhnya.

“Biasanya pada November dan Disember, bunga ros tidak berkembang mekar kerana ketika itu musim hujan.

“Selain itu, penanam bunga ros juga perlu berhati-hati dengan serangan ‘thrip’ kerana serangga itu boleh menyebabkan daun berkedut dan bunga tidak boleh berkembang seperti biasa,”

katanya.

Sementara itu, selain menawarkan jualan pelbagai jenis bunga ros, Taman Zety Roses juga adalah sebuah Pusat Penyelidikan dan Penanaman Ros, Pusat Terapi Ros Komuniti serta Perunding Landskap Taman Ros.

Ia juga membekalkan produk penjagaan khas untuk ros dan tanaman lain berasaskan bahan organik.

Disiarkan pada: Julai 17, 2021 @ 7:02am